Wednesday, May 11, 2011

Cerita didik anak.....


Di Malaysia.....................................................


Pengetua cemerlang dikelilingi doktor


SHAMSHIAH Ahmad sudah 32 tahun berkhidmat sebagai guru dan pentadbir sekolah. Lantaran dedikasi dan kualiti kerja yang ditunjukkan, beliau telah empat kali dipilih menerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau juga diiktiraf sebagai Pengetua Cemerlang pada tahun 2008.

Bagaimanapun, Shamshiah pada usia 56 tahun masih ingin mencipta lebih banyak kejayaan.

“Saya mahu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane mendapat status sekolah kluster tahun depan,” ucap pengetua kanan sekolah yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur ini.

Program pengiktirafan sekolah kluster yang dimulakan oleh kerajaan pada tahun 2007 bertujuan memberi lebih autonomi kepada sekolah yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Sekolah kluster mendapat keistimewaan dalam bidang pengurusan sumber manusia, mewujudkan dana dan tabungan sekolah, pengambilan murid, pengajaran dan pembelajaran serta penilaian dan peperiksaan.


Keibuan

Setakat ini, sebanyak 124 buah sekolah di seluruh negara sudah mendapat status itu.

Dengan tempoh perkhidmatan yang berbaki tiga tahun lagi, impian itu tidak mustahil untuk dicapai Shamshiah.

“Dari segi kokurikulum, kami sedang menyediakan pasukan pancaragam dan sukan bola baling yang mampu bertanding di peringkat yang lebih tinggi lagi.

“Dalam bidang akademik pula, sekolah kami telah menerima lonjakan sarjana sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2007 dan 2009 kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah,” katanya.

Selain itu, SMK Cochrane juga telah mewujudkan tiga aliran pembelajaran iaitu kelas aliran agama, aliran perdana dan prauniversiti.

“Prauniversiti adalah hasil inisiatif sekolah ini bagi menjenamakan semula kelas tingkatan enam supaya pelajar terbabit merasakan mereka sudah selangkah memasuki universiti,” kata Shamshiah.

Semasa menjalankan tugas sebagai pengurus sekolah, raut wajah wanita ini sememangnya kelihatan garang.

Bagaimanapun, naluri keibuan menyebabkan beliau bukan sahaja menganggap semua pelajar sebagai anak murid bahkan seperti anaknya sendiri. Guru-guru pula dilayan seperti rakan.

Shamshiah, anak sulung daripada 11 adik-beradik berkata, ibu bapa dan guru sama-sama bertanggungjawab membentuk minda pelajar.

Sebagai pengetua, peranannya adalah untuk meningkatkan kemampuan guru membina acuan untuk generasi masa depan itu.

Bukan mahu mendabik dada, tetapi kata Kak Shamshiah, keikhlasan beliau memikul tanggungjawab di sekolah sekurang-kurangnya telah dibalas dengan kejayaan tujuh orang anaknya, lima perempuan dan dua lelaki.

“Bila kita ikhlas bekerja, Allah akan balas dari segi lain pula. Saya bangga kerana tiga anak saya sudah bergelar doktor, tiga lagi sedang mengikuti pengajian perubatan di universiti manakala yang bongsu, Adham Dan masih bersekolah dalam tingkatan lima di SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

“Dia juga bercita-cita mengikuti jejak langkah kakak dan abangnya,” kata Shamshiah yang mengakui beliau gembira kehidupannya kini ‘dikelilingi’ para doktor.

Suami Shamshiah sendiri, Prof. Madya Dr. Adnan Dan merupakan doktor perubatan yang bertugas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Doktor

Menurut Shamshiah, anak pertamanya, Dr. Syuhada Dan, 30, berkhidmat di Hospital Kuala Terengganu, yang kedua, Dr. Adneen Dan, 28, di Hospital Kuala Lipis dan ketiga, Dr. Syahira Dan, 26, di sebuah hospital di Scotland.

Manakala tiga lagi anaknya yang masih belajar di peringkat ijazah iaitu Syarfa Dan, 24, di Universiti Kaherah, Mesir, Syafiqah Dan, 22, di Universiti Tanta, Mesir dan seorang lagi, Syazwani Dan, 19, di Kolej Mara Banting – International Baccalaureate iaitu kursus persediaan untuk ke luar negara.

“Saya dan suami tidak pernah menyuruh mereka menjadi doktor.

“Malah, ayah mereka selalu mengingatkan bahawa kerjaya doktor memerlukan komitmen yang tinggi.

“Tetapi anak-anak menganggap ia sebagai satu cabaran,” katanya yang selalu duduk berbincang mengenai apa sahaja topik dengan ahli keluarga.

Bagi Shamshiah, pendekatan sentuhan serta belaian bukan sahaja dipraktikkan bersama anak-anak di rumah bahkan boleh dilakukan di sekolah.

“Dalam menangani pelajar nakal atau kurang minat dengan pelajaran, saya lebih suka mengadakan sesi kaunseling.

“Kalau boleh tindakan buang sekolah itu adalah penyelesaian terakhir. Saya akan cuba ambil pendekatan lain terlebih dahulu,” katanya.

Shamshiah juga sempat berpesan supaya ibu bapa memilih makanan yang sihat dan bersih untuk anak-anak mereka. Kongsi beliau, makanan juga antara faktor menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak terutamanya dalam bidang akademik. - Kosmo
 source:http://lagiberita.blogspot.com/2011/05/pengetua-cemerlang-dikelilingi-doktor.html

Di China.....................................................




Seorang bapa, Lu Tan menyeret seorang anak lelakinya keluar dari sebuah kafe internet di Hechi, China selepas membogelkannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia menyerbu kafe internet itu sebelum menyeret anaknya di hadapan rakan-rakannya kerana berang anaknya enggan mematuhi nasihat yang diberikannya. Sebelum itu, Tan dikatakan telah bertindak membuang komputer di rumahnya kerana anaknya menghabiskan masa sepanjang hari dengan bermain komputer.

Seorang saksi berkata: "Dia (Tan) memukul budak itu yang menangis meminta belas kasihan. Namun, bapa budak itu mahu memberitahu semua orang bahawa anaknya tidak mendengar nasihat dan menyeretnya ke rumah setelah membogelkan dia dengan kedua-dua tangannya diikat."

Dia menyatakan beberapa anggota polis tidak bertindak campur tangan walaupun selepas mereka dihubungi untuk membantu budak tersebut.

Saksi itu menjelaskan bahawa budak berkenaan didakwa mencuri wang untuk digunakan bagi melayari internet.

Tan berkata, dia bertindak memukulnya kerana tidak mahu kehidupan dia dirosakkan oleh internet. Menurutnya, ibu budak itu meninggal dunia semasa dia berumur sembilan bulan.

"Saya sudah membesarkannya. Saya bekerja keras untuk membiayai keluarga," kata Tan. 
source: http://duniacacamarba.blogspot.com/2011/05/kerana-ingkar-nasihat-bapa-seret-anak.html