Sunday, February 20, 2011

Mengidam, Alahan, Pemakanan Ibu Mengadung

Apakah maksud mengidam?
Pakar nutrisi percaya yang mengidam merupakan petunjuk bahawa badan kekurangan zat-zat makanan tertentu. Sebagai contoh, jika makanan yang anda mengidam ialah ais atau sebarang benda yang bukan makanan seperti sabun, pasir atau rokok, situasi ini seringkali dikaitkan dengan kekurangan zat besi dalam badan.
Pakar herba percaya yang kekurangan mineral magnesium dalam badan akan menimbulkan keinginan untuk makan coklat. Sebagai alternatif, anda boleh mengambil makanan yang tinggi magnesium seperti bijirin, kekacang dan sayur-sayuran hijau. Terdapat juga wanita mengidam yang memerlukan lemak penting dalam badan seperti omega-3. Apabila wanita-wanita ini mengambil minyak ikan, mengidam hilang secara beransur-ansur.
Mengidam untuk makan daging memberikan petunjuk bahawa badan memerlukan protein. Dalam sesetengah kes, terdapat ibu mengandung yang makan dengan banyak buah-buahan seperti pic dan lobak merah dimana ini merupakan reaksi badannya yang memerlukan beta-karotin.
Seorang penyelidik pula memberikan pendapat berbeza. Menurutnya, kajian menunjukkan tiada saling kaitan antara makanan yang diidamkan oleh ibu mengandung dengan keperluan badannya. Buat masa  ini, tiada data saintifik yang menyokong mengidam berkait dengan keperluan ibu atau bayi. Tiada juga data yang menerangkan mengidam membawa akibat buruk.
Perlukan anda memenuhi rasa mengidam?
Pakar kesihatan bersetuju supaya ibu mengandung memberikan perhatian kepada apa yang diidamkannya. Makanan yang berkhasiat perlu diutamakan kerana ia memenuhi keperluan nutrisi dan membantu membentuk emosi yang baik.
Walaubagaimanapun, jika makanan yang anda mengidam kurang berkhasiat, jangan diabaikan makanan tersebut. Sebagai contoh, jika anda mengidam ais krim, jangan gantikan dengan yogurt yang lebih berkhasiat. Sebaliknya, anda boleh memakan ais krim dalam kuantiti yang SEDIKIT untuk memenuhi mengidam tersebut.
Cara lain untuk mengatasi mengidam yang tidak sihat ialah dengan memastikan anda makan sarapan pagi setiap hari kerana meninggalkan sarapan akan menjadikan mengidam semakin teruk. Selain itu, banyakkan bersenam dan dapatkan sokongan emosi dari yang tersayang. Faktor yang terakhir adalah amat penting kerana pergolakan emosi sewaktu mengandung akan menyebabkan anda mengalih perhatian yang lebih kepada makanan, sedangkan, apa yang anda benar-benar perlukan hanyalah pelukan sayang dari orang tercinta. Ada juga yang menjadikan alasan mengidam untuk membuktikan kasih sayang suami yang bersusah payah mencari makanan walaupun di waktu pepagi buta (kesian cik abang tu…).
Apakah penyebab mengidam benda yang bukan makanan semasa mengandung?
Tiada siapa yang pasti dengan situasi ini. Fenomena ini dinamakan pika. Dalam sesetengah kajian, situasi mengidam yang pelik ini dikaitkan dengan kekurangan zat besi. Jika anda termasuk dalam kategori ini, tidak bermakna anda mengalami kekurangan zat besi atau anda harus memenuhi kehendak luar biasa ini. Memakan benda yang bukan makanan akan mengganggu keupayaan badan anda menyerap nutrien yang mungkin menyebabkan kekurangan zat. Tambahan lagi, ia boleh menyebabkan keracunan atau sembelit atau dalam sesetengah kes, kematian.
Jika anda mengidam sesuatu yang bukan makanan, sebaik-baiknya berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik.
http://comelnya.com/mengandung/mengidam-semasa-mengandung-2


Alahan Semasa Mengandung

December 17th, 2007 | by admin | 27,943 views Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala dan perut berasa sebu dan tidak selesa. Keadaan ini biasa berlaku apabila anda baru bangun dari tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah, namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu dan ada juga wanita yang bernasib baik yang tiada alahan langsung.
Punca alahan
Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon pada badan. Ada juga pendapat yang mengatakan alahan mungkin disebabkan oleh ketidak seimbangan paras gula dalam darah.
Bila alahan berlaku?
Kebiasaannya, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.
Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan sedikit sebanyak merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini, malah ada yang terpaksa bercuti dari kerja kerana alahan yang terlalu teruk.
Kesan alahan terhadap kesihatan
Secara amnya, alahan dalam jangka masa pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Jika alahan anda terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Tambahan lagi, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi ialah pening-pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera. Ibu yang mengalami dehidrasi biasanya akan diberi cecair dan suplemen tambahan melalui drip.
Cara mengatasi alahan
Makanan
  • Apabila anda sedar di waktu pagi, makan kraker atau biskut dan rehat selama 15 minit, kemudian barulah bangun.
  • Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.
  • Kerap makan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap 2 jam) walau pun anda tidak lapar.
  • Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng.
  • Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Lebih baik jika orang lain yang memasak.
  • Makan makanan yang sudah sejuk berbanding makanan panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.
  • Hidu bau limau nipis, limau kasturi atau halia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.
  • Elakkan mengambil kafein dan merokok.
Minuman
  • Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.
  • Elakkan minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.
  • Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.
Rutin harian
  • Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidur sekejap di siang hari kerana biasanya pada trimester pertama, wanita mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.
  • Dapatkan bantuan untuk mengemas rumah dan menjaga anak yang lain. Pastikan anda peruntukkan masa untuk berehat.
  • Bersiar-siar dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk dapatkan udara segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik dalam rumah.
  • Elakkan tempat panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.
  • Jika pengambilan vitamin mengandung anda menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.
  • Bergerak perlahan-lahan dan elakkan pergerakan pantas.
  • Jangan gosok gigi sebaik sahaja lepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.
  • Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contoh: suami, ibu bapa, rakan)
Bila anda perlu dapatkan nasihat doktor?
  • Cadangan di atas tidak memberikan kesan.
  • Anda muntah lebih dari 3-4 kali sehari dan sebaik sahaja makan, anda muntah.
  • Berat badan anda menurun dengan banyak.
  • Muntah anda mengandungi darah atau berwarna hitam pekat.
  • Anda mengalami simptom-simptom dehidrasi.
  • Anda risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda. http://comelnya.com/mengandung/alahan-semasa-mengandung
Nuffnang Ads

Panduan Pemakanan Ibu Mengandung

November 28th, 2007 | by admin | 55,656 views



Semasa mengandung, anda bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.
Mengapa pemakanan sihat penting semasa mengandung
Pernahkah anda terfikir mengapa berat badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:
  • Berat bayi : 2.5 – 3 kg
  • Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 – 3 kg
  • Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
  • Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 – 2kg
  • Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
  • Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
  • Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
  • Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg
Selain daripada penambahan berat bayi, faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau mengandung anak kembar.
Makanan semasa mengandung
Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.
Sama ada anda mengandung atau tidak, diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi individu yang sihat.
Penting bagi ibu mengandung untuk memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
  • Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
  • Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
  • Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
  • Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.
Piramid makanan
Piramid Makanan
Minum banyak air dan elakkan makanan berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)
Jika anda sukakan snek, ambil raisin, biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau sebarang makanan bernutrisi yang lain.
Perkara yang perlu diambil berat semasa membeli makanan
Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan tersebut dapat dipastikan:
  • HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
  • Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi
Perhatikan juga tarikh lupus (expiry date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh, tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan bayi anda.
Bagaimana anda tahu yang pemakanan anda sihat semasa mengandung
Kunci utamanya ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya 1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 – 0.5 kg / minggu pada trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

No comments:

Post a Comment